Tuesday, 19 April 2016

Mendalami Ilmu Sebaik Mungkin




Pada hujung minggu baru ini, saya berpeluang menghadiri SEMINAR HADIS oleh Pakar Hadis, Dr Rozaimi Ramle. Beliau didatangkan khas dari Malaysia oleh Majlis Ilmu Muscat di sini. 

Banyak ilmu dan perkara baru yang saya belajar selama tiga hari bersama beliau. Selama ini saya tidaklah begitu menitik berat tentang hadis-hadis yang saya baca. Asalkan hadis itu bunyinya baik, maka saya kira baiklah untuk diamalkan. 

Hadis adalah segala sesuatu yang disandarkan kepada  Nabi Muhammad saw dari segi perkataan (sabda), perbuatan dan ketetapan. Hadis juga dijadikan sumber hukum dalam agama Islam selain Al-Quran. Hadis telah dikumpul sejak zaman Nabi hidup lagi. 

Pada zaman sekarang begitu banyak kata-kata serta amalan yang berbunyi baik dan logik atau sebaliknya, yang disebarkan sebagai hadis. Kebanyakkannya telah diamalkan sejak zaman nenek moyang kita dulu. Kita sendiri mungkin tidak tahu samada amalan itu adalah yang dituntut agama atau ia sekadar ikutan dan budaya.

Sebelum menerima dan mengamal sesebuah hadis, kita harus lah periksa kesahehan hadis itu. Saheh kah hadis ini? Kita sebagai orang biasa mungkin tidak mempunyai kredibiliti dalam menilai dan memahami sesebuah hadis itu. Namun kita diberi akal dan pilihan untuk memilih dan mencari SIAPA yang kita akan ambil sebagai rujukan dan APA rujukan yang kita akan ambil.

Hukumnya HARAM jika kita menyebar dan mengamalkan HADIS PALSU. Rekaan hadis boleh mengubah ajaran agama dan menghina Nabi walaupun dengan niat baik. Meriwayatkan hadis tanpa tahu statusnya kepada kawan-kawan dan orang ramai adalah haram. Ia dikhuatiri bercanggah dengan Al Quran. Astagfirullahaladzim.. takut saya mendengar ini.

Dalam menuntut ilmu agama, menjadi tanggungjawab kita untuk mencari guru, ustaz yang tahu dan faham agama mengikut cara yang diajar oleh Nabi dan Al Quran. Segala ajaran haruslah berlandaskan dalil dari Al Quran dan Hadis, bukan dari pandangan peribadi.

Banyak perkara yang saya ingin kongsikan di sini namun saya sedar dengan ilmu cetek yang saya ada dalam perkara ini menahan saya dari meneruskannya. Saya takut saya akan tersalah bicara. Satu perkara yang jelas adalah Hadis ini ibarat Nabi itu sendiri kerana segala yang kita dapat dari hadis ini adalah segala perbuatan dan bicara Nabi. Maka ia bukanlah suatu perkara yang boleh dibuat main dan dipandang ringan.

Banyak yang masih saya tidak tahu dan lebih banyak ingin saya belajar. Semoga Allah memberi saya lebih banyak peluang dan istiqamah untuk merebut peluang mendalami ilmu agama ini. 

Daripada `Aishah r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: 
Sesiapa yang mengada-ngadakan sesuatu perkara mengenai urusan agama kami, yang bukan daripadanya, maka ia adalah tertolak. Dalam satu riwayat yang lain: Sesiapa yang melakukan satu amalan yang bukan dari ajaran kami, maka ia adalah tertolak. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Sesungguhnya sesiapa yang hidup selepasku akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kalian berpegang kepada sunnahku dan sunnah al-Khulafa’ al-Rasyidin al-Mahdiyyin (mendapat petunjuk). Berpeganglah dengannya dan gigitlah ia dengan geraham. 
Hadis riwayat Abu Daud, no. 4607, at-Tirmidzi, no. 2676 dan al-Hakim 1/95
Wallahuallam...



No comments: