Monday, 11 April 2016

Bersedekahlah Tanpa Mengarap Balasan




Tangan yang menghulur lebih mulia dari tangan yang menerima. "menghulur" atau "memberi" ini boleh datang dari berbagai cara. Ada juga yang boleh dikategorikan dalam konteks "sedekah". Ya.. jika niat kita ikhlas untuk memberi dan menghulur ia akan membuahkan sedekah pahala.

Ada orang yang suka memberi buah tangan atau hadiah kepada saudara mara atau kawan-kawan setiap kali mereka berjumpa. Tidak kiralah apa jua hadiah itu tapi orang yang sering memberi ini akan merasa puas kerana dapat menggembirakan si penerima. 

Ada orang juga yang memang suka sangat belanja orang makan. Bukan dia nak menunjuk-nunjuk banyak duit konon, tapi memang itu sifatnya. Saya pernah melihat adegan berebut-rebut nak bayar antara kawan-kawan. Mereka ini semua berduit, tapi agaknya memang sifat mereka yang suka belanja orang makan. Mungkin mereka rasa puas dan gembira denga cara ini.

Ada orang juga yang suka mengadakan jamuan makan di rumah. Hampir setiap minggu pasti ada jamuan atau kenduri kecil untuk dijamu makan bersama kawan atau saudara. Segala penat lelah hilang bila melihat tetamu berkumpul makan bersama.

Perbuatan ini kadangkala dah menjadi habit atau kebiasaan dalam hidup mereka. Pada orang yang memberi ini mereka merasa satu keseronokan dan kepuasan melakukan sedekah cara ini. Ya.. tanpa mereka sedar, ini adalah sedekah dan pahala boleh juga diraih dengan cara ini. Cuma kadang kala hati saya tergerak pada yang menerima itu. Jika orang yang merima itu kerap menerima sesuatu dari orang yang sama sahaja, tidak kah mereka mereka merasa sesuatu? Hmm.. apa yang perlu mereka rasa ye? Malu? Bersalah? Terhutang budi? "Terharu?" "Bertuah" "Bersyukur" 

OK.. soalan ini tidak perlu timbul jika orang yang memberi ini iklas niatnya kan? Tapi sebagai manusia biasa, hati pasti diduga dan didetikkan dengan perasaan jahat ini. Pasti perasaan ini akan timbul sedikit walaupun tidak banyak. 

Saya selalu berkata pada diri saya dan anak-anak. Berbuatlah baik pada orang, pasti kebaikan kita akan dapat. Saya juga selalu mengingati terus terusan pada diri saya, jika saya membuat sesuatu jangan lah sentiasa mengharapkan balasan. Jika saya masak laksa beri pada Cik Kiah, tidak semestinya keesokkan hari Cik Kiah akan masak juga laksa balas pada saya kan? Mungkin juga Cik Kiah langsung tidak akan masak atau balas apa2 pun pada saya. Mungkin Cik Yam yang saya jarang memberi padanya tetiba akan beri saya laksa... (ini contoh lah kan... :) )

Kadangkala kebaikan yang kita buat, ganjarannya datang dari berbagai cara. Mungkin Allah tidak salurkannya terus pada kita tapi kepada anak cucu kita. Kadangkala ganjaran itu bukan lah dari segi material atau juga bukan dari cara yang sama kita buat. Tetapi tanpa kita sedar sebenarnya ganjaran itu telah Allah berikan pada kita.

Setidak-tidaknya kita akan merasa tenang. Kita akan merasa bahagia dan seronok jika dapat menggembirakan orang lain. Ini juga adalah satu ganjaran yang mungkin kita tidak sedar. 

Selain ingin menjadi orang yang sentiasa ikhlas memberi dan bersedekah, saya juga ingin menjadi orang yang sentiasa tahu bersyukur dan malu jika selalu menerima. Saya tidak mahu mengambil kesempatan di atas kebaikan orang lain. Saya mahu sentiasa berterima kasih kerana saya tahu di dunia ini memang akan sentiada ada orang yang memang ikhlas ingin membuat kebaikan.


" Tangan yang menghulur lebih baik daripada tangan yang menerima, mulakanlah dengan mereka yang dibawah tanggunganmu. Sebaik-baik sedekah itu adalah yang tidak mengorbankan keperluannya dan keluarganya, sesiapa yang menahan daripada meminta sedekah dia akan dijaga oleh Allah s.w.t. , sesiapa yang merasa berpada-pada maka diberikan Allah s.w.t. kelegaan padanya." (HR Bukhari dan Muslim)


No comments: